POLITIK

Penggantian ahli lantikan dalam MPT perkara biasa – Tun Faisal

CYBERJAYA – Proses penggantian ahli yang dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) adalah satu perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

Demikian penjelasan Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz bagi mengulas penamatan keanggotaan Ketua BERSATU Kepala Batas, Khaliq Mehtab Ishaq daripada MPT parti.

“Khaliq bukan dipecat atau digantung, tetapi digantikan dengan lantikan ahli MPT yang lain. Sebagai ahli MPT lantikan, perkara ini adalah biasa,” kata Tun Faisal dalam satu kenyataan, hari ini.

Siang tadi, Khaliq mengesahkan keanggotaanya sebagai ahli MPT ditamatkan, dipercayai kerana beliau tidak menyokong penuh presiden dalam ‘perkara tertentu’.

Sebagai rekod, Khaliq merupakan antara seorang daripada lima individu yang dilantik dalam ke dalam MPT BERSATU, Januari lalu.

Dalam kenyataan sama, Tun Faisal turut menolak tanggapan bahawa ahli MPT perlu jadi ‘Yes Man’.

“Tiada siapa yang perlu jadi ‘Yes Man’. MPT adalah rujukan kepada ahli-ahli parti dan mereka mesti jadi antara yang paling faham tentang perlembagaan, dasar dan keputusan-keputusan parti,” katanya.

Tambahnya, BERSATU dan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak perbezaan pandangan.

“Selama ini dan sehingga sekarang pun Muhyiddin dan BERSATU bersifat inklusif dan terbuka kepada bermacam pandangan dan kerjasama dengan pihak lain, asalkan dilakukan berdasarkan perlembagaan, keputusan dasar parti serta melalui saluran yang betul,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button