Hamzah dijangka terajui Parti Keluarga Malaysia
KUALA LUMPUR – Parti Keluarga Malaysia dijangka menjadi wadah politik baharu buat Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bulan lalu.
Perkembangan itu disahkan Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya yang memaklumkan perbincangan bagi membuka laluan kepada Ahli Parlimen Larut itu untuk menerajui parti berkenaan kini hampir dimuktamadkan.
Menurutnya, dua sesi pertemuan telah diadakan bersama Hamzah serta beberapa lagi Ahli Parlimen yang turut dipecat daripada BERSATU, termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Perbincangan terakhir berlangsung pada hari Khamis minggu lalu dan menunjukkan hampir 90 peratus kemungkinan Datuk Seri Hamzah akan mengambil alih kepimpinan parti,” katanya seperti dipetik BH Online.
Khairi berkata, langkah seterusnya memerlukan persetujuan menyeluruh semua pihak selain melibatkan penyusunan jawatan utama dalam parti.
Beliau turut menjelaskan satu proses pemilihan akan diadakan bagi melantik Hamzah sebagai Presiden Parti Keluarga Malaysia.
“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Kami sedang menyusun perlembagaan parti bagi membolehkan proses pemilihan diadakan dan seterusnya melantik beliau sebagai Presiden,” katanya.
Sebelum ini, beberapa rundingan dibuat bagi menentukan rumah baharu Hamzah termasuk parti BERJASA.
BERJASA menyertai beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sejak penubuhannya pada 1977, namun pencapaian pilihan rayanya lebih tertumpu kepada era awal penubuhan parti berkenaan.
Pada akhir 1970-an, khususnya dalam Pilihan Raya Umum 1978, BERJASA bertanding di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), terutama di Kelantan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








