Kesatuan Pondok Kelantan gesa pemimpin bawa imej Islam lebih bertanggungjawab, elak perpecahan
KOTA BHARU – Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menggesa semua pemimpin politik khususnya yang membawa imej Islam, supaya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.
Pengerusinya, Zulkarnain Harun berkata, pengaruh yang dimiliki seseorang pemimpin datang bersama amanah besar kerana setiap kenyataan yang dikeluarkan boleh menjadi jambatan penyatuan atau mencetuskan perpecahan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.
Menurutnya, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana tidak disertakan bukti yang jelas.
“Tuduhan yang begitu berat bukan saja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan membuat beberapa dakwaan terhadap PH khususnya DAP, termasuk mendakwa parti itu mahu menyingkirkan kedudukan Melayu dan Islam selain melabel DAP sebagai parti yang memperjuangkan sekularisme.
Kenyataan itu kemudian dikritik DAP sebagai berbahaya dan seolah-olah mengambil alih kuasa Tuhan.
Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali pula berkata, DAP sentiasa mendukung Perlembagaan Persekutuan dan bergerak mengikut lunas perlembagaan.
Katanya, sekiranya DAP benar-benar menolak Islam seperti yang didakwa, parti itu sudah lama berdepan tindakan kerana menyanggah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Zulkarnain yang lebih dikenali sebagai Baba Zul berkata, pendekatan politik yang dibawa Abdul Hadi bercanggah dengan tuntutan syariat Islam yang menekankan keadilan, tabayyun serta larangan membuat tuduhan tanpa bukti.
Beliau memetik ayat ke-12 Surah al-Hujurat yang mengingatkan umat Islam supaya menjauhi sangkaan buruk kerana sebahagiannya merupakan dosa.
Menurutnya, kenyataan yang mengaitkan DAP dengan usaha menghapuskan Melayu dan Islam juga menunjukkan kekeliruan terhadap kerangka demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia.
Katanya, Malaysia tidak membenarkan mana-mana parti politik bertindak sesuka hati kerana kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi raja-raja Melayu, Parlimen, undang-undang serta prinsip semak dan imbang.
“Islam mempunyai kedudukan yang jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.
“Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam kerajaan perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti tersebut menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara,” katanya.
Zulkarnain berkata, kerajaan Persekutuan merupakan gabungan pelbagai parti dan setiap dasar perlu melalui proses pentadbiran, perundangan serta institusi yang ditetapkan.
Beliau turut menggesa supaya politik negara beralih daripada pendekatan menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian yang memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.
“Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah. Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan. Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan.
“Sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada politik menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian iaitu berlumba-lumba menawarkan gagasan terbaik untuk meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita membina politik yang berteraskan ilmu, fakta, keadilan, akhlak dan maslahah, demi Islam yang dihormati, rakyat yang bersatu dan Malaysia yang aman serta sejahtera,” katanya.
Sebagai rekod, PAS dan DAP pernah bekerjasama melalui Pakatan Rakyat termasuk membentuk kerajaan negeri di beberapa negeri sebelum hubungan kedua-dua parti itu berakhir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




