AGAMABERITA SEMASA

Biar sakit, jangan hilang maruah: Suara lembut Ustazah Asma’ tentang wanita dedah aurat di hospital

DALAM kesibukan rutin harian, kita jarang memikirkan tentang adab dan penjagaan diri ketika berada di hospital khususnya dalam bab menutup aurat.

Meskipun ia adalah ruang yang sering dikaitkan dengan kecemasan, rawatan dan pelbagai emosi bercampur, ketetapan Allah dalam menutup aurat tetap perlu dipertahankan.

Baru-baru ini, teguran lembut tetapi tegas datang daripada pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang mengingatkan ramai bahawa menjaga aurat bukan hanya amalan di masjid atau majlis ilmu, tetapi juga di bilik rawatan yang serba ringkas dan sibuk.

Melalui satu perkongsian di media sosial, Ustazah Asma’ meluahkan kebimbangan terhadap situasi yang kerap berlaku iaitu wanita yang tanpa disedari atau kadang kala kerana keselesaan membiarkan bahagian aurat terdedah ketika mendapatkan rawatan.

Dalam suasana hospital yang dikunjungi doktor dan petugas lelaki, perkara ini tentu menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi bagi yang benar-benar menjaga batas.

Menurutnya, walaupun pesakit berada dalam keadaan kurang upaya, syarak tetap menekankan kewajipan menjaga aurat kecuali bahagian yang perlu dibuka untuk tujuan rawatan.

“Sedih bila lihat… ramai wanita di hospital dedah aurat dengan sengaja atau tidak sengaja. Doktor dan staf lelaki keluar masuk, aurat terlihat begitu saja,” tulisnya.

Beliau turut berkongsi realiti di wad bersalin, di mana wanita sering membuka tudung kerana panas, kain yang tersingkap ketika bergerak atau pakaian tidak sempat dibetulkan selepas pemeriksaan doktor.
Situasi-situasi sebegitu katanya, boleh berlaku tanpa niat tetapi tetap perlu diberi perhatian.

Ustazah Asma mengingatkan bahawa menjaga aurat bukanlah beban, tetapi sebahagian daripada menjaga harga diri.

“Ia bukan soal penampilan semata-mata, tetapi refleksi hubungan kita dengan Allah lebih-lebih lagi pada saat tubuh lemah dan jiwa diuji.

“Bagi wanita, seluruh tubuh adalah aurat kecuali wajah dan tapak tangan, manakala bagi lelaki pula antara pusat dan lutut,” katanya.

Prinsip itu jelas beliau, adalah asas yang perlu difahami sebelum melangkah ke mana-mana ruang, termasuk ke hospital.

Mengakhiri peringatan itu, beliau mengutip firman Allah SWT dari Surah An-Nur ayat 31, yang menyeru wanita beriman agar memelihara pandangan dan kehormatan serta menutup perhiasan tubuh.

”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”

Teguran ini bukanlah tentang menyalahkan, tetapi mengingatkan bahawa maruah itu anugerah dan menjaganya adalah satu bentuk ibadah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button