LUAR NEGARA

Ibu Vietnam bunuh dua anak demi pampasan insurans hampir RM1 juta

DA NANG – Bukan seorang sebaliknya dua anak lelakinya dibunuh dengan kaedah yang hampir sama oleh seorang ibu di Vietnam untuk membolehkannya menerima bayaran pampasan insurans berjumlah kira-kira RM1 juta.

Mahkamah Rakyat Da Nang pada 6 Ogos lalu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap To Thi Ty Na, 45, selepas mendapati wanita dari Komun Thang Binh itu bersalah membunuh anaknya dan melakukan penipuan insurans.

Ty Na dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan membunuh dan enam tahun penjara atas kesalahan penipuan insurans. Kedua-dua hukuman itu digabungkan menjadi penjara seumur hidup mengikut undang-undang Vietnam.

Kes terbabit terbongkar selepas polis menerima laporan pada 3 Januari 2023 mengenai kematian anak lelaki Ty Na yang dilahirkan pada 2017.

Kanak-kanak berusia lima tahun itu ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah baldi di bilik air rumah keluarga mereka pada malam sebelumnya, dengan kematiannya pada awalnya dilaporkan sebagai kejadian lemas secara tidak sengaja.

Bagaimanapun, ibu saudara sebelah bapa mangsa, Nguyen Thi Bich Tam, mengesyaki terdapat sesuatu yang mencurigakan lalu membuat laporan kepada pihak berkuasa pada hari yang sama.

Tam memberitahu penyiasat bahawa dia meneliti rakaman kamera keselamatan di rumah berkenaan dan mendapati Ty Na sengaja mengubah arah salah satu kamera sebelum kejadian.

Siasatan kemudian mendedahkan seorang lagi anak Ty Na turut meninggal dunia dalam keadaan hampir sama pada 2021 selepas dikatakan lemas dalam baldi di bilik air.

Selepas kematian anak berkenaan, Ty Na telah menerima bayaran pampasan insurans lebih RM312,000.

Persamaan antara kedua-dua kematian itu mendorong polis menjalankan siasatan lebih menyeluruh terhadap kematian anak keduanya.

Penyiasat mendapati hanya Ty Na dan anak lelakinya berada di dalam rumah sebelum, ketika dan selepas kejadian. Kediaman itu juga hanya mempunyai satu pintu masuk, sekali gus menolak kemungkinan orang luar terbabit.

Bukti forensik yang diperoleh turut bercanggah dengan dakwaan bahawa kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas secara tidak sengaja.

Ty Na akhirnya didapati membunuh anak lelakinya sebelum mereka-reka kematian bagi membolehkannya membuat tuntutan insurans berjumlah lebih 4.1 bilion dong (kira-kira RM640,000).

Jika digabungkan dengan pampasan lebih RM312,000 yang diterimanya selepas kematian anak pertama pada 2021, jumlah bayaran insurans yang diterima atau dituntut berkaitan kedua-dua kematian itu mencecah kira-kira RM1 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button