JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam parit, dipercayai dibunuh

SUNGAI BULOH – Misteri penemuan mayat seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dalam sebuah parit di Jalan Industri 7, Kampung Baru Sungai Buloh, di sini kelmarin, terbongkar selepas bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mayat berkenaan ditemukan orang awam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil untuk mengeluarkannya dari parit.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada si mati dan identitinya juga masih belum dikenal pasti.

“Si mati adalah lelaki berkulit cerah, botak, berketinggian kira-kira 170 sentimeter (sm) dengan berat 50 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa, menyebabkan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Hafiz berkata, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa selain mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang dan mempunyai ciri-ciri menyerupai mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 013-3479809.

“Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Dalam pada itu, masyarakat dinasihatkan supaya tidak menularkan sebarang imej, video atau maklumat tidak sahih di mana-mana platform media sosial serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button