BERITA SEMASA

Dua maut, seorang cedera parah dalam dua kemalangan berasingan di Kota Tinggi

KOTA TINGGI — Dua individu maut manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kejadian kemalangan berasingan di Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, semalam.

Dalam kejadian pertama yang berlaku pada pukul 4.10 pagi di Kilometer 42 jalan berkenaan, seorang wanita tempatan dikenali sebagai Hamizah Ahmad, 55, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan sejurus turun dari sebuah bas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa melintas secara tiba-tiba sebelum dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna perak yang datang dari arah Sungai Rengit menuju ke Kota Tinggi.

“Pemandu dipercayai tidak sempat mengelak mangsa yang melintas secara mengejut. Mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan berasingan di Kilometer 33.5 jalan sama pada pukul 11 malam, seorang lelaki warga Indonesia maut manakala seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung.

Menurut Yusof, kejadian melibatkan motosikal jenis Modenas CT dan Yamaha LC135 yang kedua-duanya datang dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

“Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC135 dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal Modenas CT yang berada di laluan sama,” katanya.

Katanya, penunggang Modenas CT disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala penunggang Yamaha LC135 mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button