BERITA SEMASA

JAS serius tangani pencemaran di Ulu Sungai Johor

KOTA TINGGI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak pantas menjalankan siasatan dan penguatkuasaan susulan insiden pencemaran air di Ulu Sungai Johor pada 31 Oktober lalu, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir di kawasan berkenaan.

JAS berkata, siasatan awal mendapati kerosakan benteng silt pond di tapak perlombongan menyebabkan aliran air berlumpur memasuki sungai sehingga mencemarkan sumber air utama tersebut.

“Pasukan kami menjalankan siasatan segera pada jam 11 pagi dan mendapati air sedimen telah mengalir secara graviti ke Sungai Johor.

“Pihak syarikat telah mengambil langkah awal menambak semula benteng serta menaikkan paras silt pond bagi menghentikan aliran lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun operasi perlombongan tidak tertakluk kepada penilaian kesan alam sekitar (EIA) kerana berkeluasan kurang 20 hektar, tindakan undang-undang tetap dikenakan.

“Field Citation (FC) dikeluarkan kepada syarikat Hiap Aik Evergreen Sdn Bhd yang diarahkan mengemukakan laporan terperinci mengenai pembaikan benteng pecah.

‘Syarikat terbabit juga diwajibkan melakukan pemantauan rapi terhadap semua silt pond di kawasan operasi.

“Pemantauan bersama beberapa agensi termasuk Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Ranhill SAJ bagi memastikan kawalan operasi air dan tindakan pembetulan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya lagi.

JAS turut berkata, pemantauan kualiti air dilakukan secara berterusan bagi memastikan tiada gangguan terhadap bekalan air serta operasi loji rawatan di kawasan terlibat.

“Pengusaha industri diingatkan supaya sentiasa memastikan kawalan pencemaran dilakukan secara menyeluruh, terutama pada musim hujan yang berisiko menyebabkan hakisan dan pelepasan sedimen.

“Tindakan tegas menanti mana-mana pihak yang didapati mencemar alam sekitar mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun,” katanya lagi.

Jabatan itu memastikan pemantauan susulan diteruskan bagi menjamin kelestarian sungai dan kesejahteraan masyarakat setempat, sambil menyeru kerjasama semua pihak dalam memelihara alam sekitar demi kepentingan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button