RS-2 sasar ekonomi Selangor melepasi RM600 bilion menjelang 2030
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor melancarkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dengan sasaran mengembangkan nilai ekonomi negeri melepasi RM600 bilion menjelang 2030 menerusi pelbagai sektor strategik termasuk semikonduktor, aeroangkasa, ekonomi digital dan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RS-2 merupakan pelan pembangunan sosioekonomi negeri bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030 yang membawa tema ‘Selangor Memimpin Pertumbuhan, Memacu Kemakmuran dan Menerajui ASEAN’.
Menurut beliau, pelan itu dibangunkan bagi menangani cabaran semasa termasuk keperluan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, penyediaan perumahan mampu milik, peningkatan pengangkutan awam, perubahan iklim serta penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan.
“RS-2 dibangunkan melalui enam misi, 25 bidang tumpuan dan 98 inisiatif yang memberi fokus kepada pemacuan ekonomi, pembangunan daerah seimbang, negeri penyayang dan berdaya huni, modal insan produktif, negeri lestari serta kerajaan yang efektif dan mesra rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan sekurang-kurangnya 166,200 peluang pekerjaan baharu diwujudkan sepanjang tempoh pelaksanaan rancangan berkenaan.
Selain itu, pendapatan median isi rumah rakyat Selangor disasarkan meningkat kepada RM14,500 sebulan, manakala kadar pengangguran dikurangkan kepada 2.2 peratus.
Amirudin berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan 85 peratus perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan secara digital bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan keseluruhan RS-2 memerlukan anggaran peruntukan RM33.31 bilion yang melibatkan sumbangan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, anak syarikat serta sektor swasta.
Beliau berkata, RS-2 merupakan kesinambungan kepada Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilaksanakan dari 2021 hingga 2025.
Katanya, daripada 16 indikator yang ditetapkan dalam RS-1, sebanyak sembilan indikator berjaya melepasi sasaran termasuk pertumbuhan ekonomi purata 7.5 peratus, pendapatan median isi rumah RM10,726 dan penurunan kadar kemiskinan relatif kepada 8.5 peratus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








