Pencemaran udara, kebersihan venue cetus kritikan pemain dunia di Terbuka India
KUALA LUMPUR – Isu pencemaran udara dan tahap kebersihan kemudahan kejohanan mencetuskan kritikan pemain-pemain badminton ternama dunia terhadap penganjuran Kejohanan Terbuka India di New Delhi.
Pemain perseorangan lelaki nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen mendedahkan pencemaran udara yang serius menjadi punca beliau menarik diri daripada kejohanan itu buat tahun ketiga berturut-turut, meskipun dikenakan denda AS$5,000 (RM20,237) oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Ramai tertanya-tanya mengapa saya menarik diri daripada Terbuka India untuk tahun ketiga berturut-turut.
“Disebabkan pencemaran udara yang melampau di New Delhi ketika ini, saya tidak fikir ia tempat sesuai untuk menganjurkan kejohanan badminton,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Antonsen bagaimanapun berharap keadaan tersebut akan bertambah baik menjelang Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung di New Delhi pada Ogos depan.
Kritikan itu hadir sehari selepas pemain perseorangan wanita Denmark, Mia Blichfeldt, turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemudahan latihan yang disifatkan tidak bersih dan berpotensi menjejaskan kesihatan pemain.
Beliau mendakwa isu debu serta najis burung di kawasan memanaskan badan menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan venue kejohanan.
Walaupun berpuas hati dengan kualiti gelanggang utama di Kompleks Sukan Indira Gandhi, Blichfeldt menegaskan faktor persekitaran masih membimbangkan, terutama menjelang Kejohanan Dunia yang akan kembali dianjurkan di negara itu buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.
Bagaimanapun, Persatuan Badminton India (BAI) menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan venue utama kejohanan berada dalam keadaan bersih serta terurus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








