Kes pukul sampai mati dedah rumah jagaan beroperasi tanpa lesen sejak 2012
IPOH – Rumah jagaan di Taman Choong Kwee, Tanjung Rambutan, dekat sini yang mana salah seorang penghuninya mati akibat dipukul kelmarin, didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati, rumah jagaan yang telah beroperasi sejak tahun 2012 itu hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau berkata, tiada sebarang dokumen dikemukakan bagi membuktikan premis tersebut berdaftar dengan agensi atau jabatan berkaitan.
“Setakat ini, siasatan menunjukkan tiada dokumentasi yang membuktikan premis itu berdaftar atau memiliki lesen operasi yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), atau surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.
“Premis itu juga didapati tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Ketua Polis Daerah Taiping di Mess Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Alwi berkata, mangsa berusia 54 tahun merupakan salah seorang daripada 21 penghuni di rumah jagaan persendirian itu.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada malam 3 Ogos selepas mangsa didakwa bertindak agresif dan mengganggu penghuni lain.
Beliau berkata, seorang penjaga dipercayai mengarahkan supaya mangsa diikat sebelum beberapa penghuni bersama penjaga tersebut memukul dan memijak mangsa.
“Bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan punca kematian ialah kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala.
“Susulan kejadian, polis menahan lima lelaki, terdiri daripada empat penghuni dan seorang penjaga, berusia antara 35 hingga 55 tahun. Kesemua mereka direman selama empat hari bermula 5 Ogos hingga 8 Ogos,” katanya lagi
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






