Bekas calon Rantau, isteri didakwa di mahkamah
SEREMBAN – Bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan membuka klinik perubatan tanpa didaftarkan.
Tertuduh, Dr Azizul Hakim Mahdi dan Noor Ameeraa Rahmat berusia 35 tahun membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengarah syarikat secara bersama-sama telah didapati menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Berikutan itu, tertuduh didapati melanggar peruntukan Seksyen 4(1), Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(2)(aa) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat milik mereka didapati turut menyediakan klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Bagi kesalahan terbabit pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 5(1) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1)(b) Akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 17 September depan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Haslina Zamani manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Abdul Fateh Mohd Rahmat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




