JENAYAH & MAHKAMAH

Kes kanak-kanak pandu kereta, bapa tidak mengaku salah bertindak cuai

SEPANG – Bapa kepada kanak-kanak yang dirakam memandu sebuah kereta, baru-baru ini, di dakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anak lelakinya kepada kecederaan fizikal.

Bapa kepada lima anak berusia 53 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, warga Pakistan yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun telah mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkannya kepada kecederaan fizikal dengan cara gagal mengawasi kanak-kanak itu sehingga memandu kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah taman perumahan di Taman Putra Impiana, Puchong, dekat sini pada 7.30 petang, 28 Julai lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan berikutan anak guamnya bekerja sebagai penjual karpet dan merupakan penanggung tunggal keluarga.

Ahmad Fuad kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta 4 September ini untuk sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan, polis selesai mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong.

Lelaki itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan pada 11.30 malam, 29 Julai lalu.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak dipercayai adiknya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button