Kes 1MDB: Mahkamah sabit Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa, 21 pertuduhan AMLA
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini mensabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak atas empat pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas mendapati beliau gagal menolak anggapan suapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, berdasarkan keseluruhan keterangan, tertuduh didapati menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meluluskan dua kemudahan pinjaman pada tahun 2014, yang merupakan prasyarat di bawah Artikel 117.
Menurut beliau, dana hasil kelulusan tersebut kemudiannya dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh, sekali gus memenuhi elemen penerimaan suapan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Mahkamah mendapati tertuduh gagal membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa beliau tidak menerima suapan seperti yang diandaikan di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, malah pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan keempat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM melampaui keraguan munasabah.
Sehubungan itu, mahkamah mensabitkan Najib atas keempat-empat pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 23(1) akta berkenaan.
Mahkamah seterusnya meneliti 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, yang berkaitan penerimaan, penggunaan dan pemindahan dana berjumlah RM2,081,476,926.
Hakim menjelaskan, pertuduhan tersebut melibatkan dana yang berasal daripada Tanore Finance Corporation yang menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB, sebelum dimasukkan ke dalam akaun M-Islamic Bank milik tertuduh bernombor hujung 9694.
Menurut beliau, keterangan saksi pendakwaan, termasuk laporan Money Trail P155 dan carta pertuduhan ketiga P805 yang dikemukakan oleh PW47, menunjukkan dengan jelas asal-usul, pergerakan serta penggunaan dana terbabit.
“Mahkamah menerima kaedah perakaunan forensik first-in-first-out (FIFO) yang digunakan bagi mengasingkan dana haram daripada dana lain dalam akaun tertuduh,” katanya lagi.
Beliau berkata, pendekatan tersebut membolehkan pendakwaan membuktikan bahawa dana yang digunakan, termasuk pembayaran kepada entiti politik dan kontraktor pihak ketiga, adalah secara langsung daripada hasil aktiviti menyalahi undang-undang.
Mahkamah mendapati perbuatan tertuduh melibatkan tiga kategori utama pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil aktiviti haram (sembilan pertuduhan), menggunakan hasil aktiviti haram (lima pertuduhan) dan memindahkan hasil aktiviti haram (tujuh pertuduhan).
Antara transaksi yang dibuktikan termasuk pengeluaran cek dan pemindahan dana dalam beberapa tranche sepanjang Ogos 2013, selain arahan bertulis tertuduh kepada bank untuk menutup akaun dan memindahkan baki ke akaun lain.
Menurut hakim, semua keterangan tersebut adalah kukuh, konsisten dan tidak dicabar secara berkesan oleh pihak pembelaan.
“Dalam kesalahan pengubahan wang haram, pengetahuan boleh diinferenskan daripada keadaan fakta objektif.
“Walaupun tertuduh menafikan mengetahui sumber dana itu adalah haram, prinsip willful blindness terpakai,” katanya lagi.
Mahkamah turut menolak serangan pembelaan terhadap kebolehpercayaan laporan jejak wang dan metodologi FIFO, dengan menyatakan analisis tersebut disediakan berdasarkan rekod perbankan, dokumen sokongan serta keterangan saksi yang relevan.
Sehubungan itu, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 21 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.
Prosiding seterusnya dijangka diteruskan bagi mendengar hujahan berkaitan hukuman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








