JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita meluru ke arah Sultan Perak dituduh gunakan kekerasan jenayah

IPOH – Wanita yang bertindak meluru ke arah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki,41, didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sultan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada kira-kira pukul 8.20 pagi ketika perarakan berlangsung.

Nurhaswani yang kelihatan tenang, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul, memohon supaya tiada pengakuan direkodkan kerana laporan awal daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) menunjukkan tertuduh menghidap skizofrenia.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon perintah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi mendapatkan penilaian psikiatri lanjut untuk menentukan keadaan mental dan tahap kebolehan tertuduh menghadapi perbicaraan,” katanya.

Peguam tertuduh, M. Saravanan, tidak membantah permohonan tersebut.

Mohd Harith membenarkan permintaan itu dan mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri lanjut untuk laporan penuh sebelum prosiding diteruskan.

Beliau menambah bahawa tiada jaminan akan ditawarkan dan mengarahkan tertuduh kekal menerima rawatan di hospital.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Oktober.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button