Empat dituduh buat tuntutan palsu Program Daya Kerjaya 2.0
MELAKA – Empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan berasingan mengemukakan tuntutan palsu dan bersubahat bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.
Henry Ratnaike, 45, Gan Pay Kiat, 32, Koh Kai Loon, 40, dan Ling Yate May, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala hanya Henry diwakili peguam Ng Fun Boon.
Bagi kes pertama, Henry selaku Pengarah Syarikat Alpha Buidcon didakwa memberikan empat Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikatnya yang mengandungi penyataan palsu butiran matan kepada seorang wanita ejen PERKESO dengan maksud mengelirukan prinsipalnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 22A, Jalan MJ 35, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini, pada 10 Mei 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir matan yang palsu atau silap, jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ling pula didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Henry dalam mengemukakan empat borang berkenaan itu pada tarikh dan di tempat sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(I)(c) ASPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Sementara itu, Gan sebagai Pengarah Syarikat Prima Kerjaya Trading, didakwa atas dua pertuduhan memberi Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikatnya, mengandungi penyataan palsu butiran matan kepada seorang ejen PERKESO bagi mengelirukan prinsipalnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat itu di Jalan KPKS 3, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, di sini, pada 27 dan 31 Mei 2024.
Manakala Koh, sebagai Pengarah Syarikat PK Tan Auto & Car Repair pula didakwa memberi kepada seorang ejen PERKESO, Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 mengandungi butiran matan palsu di Durian Tunggal pada 14 Jun 2024.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh mengikut pertuduhan masing-masing.
Mahkamah kemudian membenarkan Henry dan Ling diikat jamin RM15,000 setiap seorang, Gan (RM13,000) dan Koh (RM9,000) dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 September depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




