JENAYAH & MAHKAMAH

Tentera tumbuk wanita didakwa pula atas tuduhan khianat

SEREMBAN – Seorang anggota tentera yang tular menumbuk seorang pemandu wanita pada bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan khianat, di sini hari ini.

Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Menurut pertuduhan, Abdul Hafiz didakwa merosakkan pintu depan kereta milik seorang wanita berusia 28 tahun, pada 29 Mac 2025, sekitar jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang.

Tertuduh berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000, namun peguam tertuduh, Syed Fadil Syed Othman, yang mewakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, memohon agar jaminan lebih rendah diberikan, memandangkan tertuduh seorang tentera dan menanggung dua orang anak, sementara isterinya adalah suri rumah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 19 Mei ini.

Pada Isnin lalu, Abdul Hafiz didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan menumbuk wanita yang sama dan beliau juga mengaku tidak bersalah dalam kes tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan satu klip video menunjukkan seorang wanita yang memandu kereta Perodua Axia ditumbuk oleh seorang lelaki di Senawang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan lelaki tersebut yang mendakwa anaknya dilanggar oleh pemandu kereta tersebut ketika sedang melintas jalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button