JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja sambilan pengiklanan dituduh cuba bunuh dua wanita di surau

PETALING JAYA – Seorang pekerja sambilan pengiklanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan cuba membunuh dua wanita di sebuah surau di Kelana Jaya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Ferdaus Mashud, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor.

Menurut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa cuba membunuh seorang jurujual telefon bimbit berusia 26 tahun dan guru sekolah agama 52 tahun menggunakan objek tajam dengan niat atau pengetahuan akan sebabkan kematian mereka, di Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah di Jalan SS5A/10, dekat sini, pada pukul 1.30 tengah hari 9 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya KS Rinisha Priyya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan itu dianggap berat.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan terhadap tertuduh, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis dengan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam, Kailash Sharma memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Katanya, penjamin tertuduh ialah bekas isteri dan adik kandungnya, selain anak guamnya tiada risiko melarikan diri.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Sept depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button