Pentadbiran Trump pulangkan AS$100 bilion kutipan tarif dibatalkan mahkamah
WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan telah memulangkan kira-kira AS$100 bilion (RM425 bilion) hasil kutipan tarif yang sebelum ini diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Agung AS.
Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS, bayaran balik duti berserta faedah itu telah diselesaikan menerusi komponen Consolidated Administration and Processing of Entries Refund sebelum dihantar kepada Jabatan Perbendaharaan AS untuk proses pembayaran.
Dokumen yang difailkan pegawai kastam AS kelmarin menyatakan jumlah berkenaan adalah setakat penghujung Julai, memetik laporan agensi berita antarabangsa.
Nilai bayaran balik tersebut mewakili lebih separuh daripada keseluruhan AS$166 bilion (RM478 bilion) kutipan tarif yang dibatalkan Mahkamah Agung pada Februari lalu.
Tarif merupakan antara dasar utama pentadbiran Trump dalam perdagangan dan hubungan luar negara, namun langkah itu berdepan kritikan daripada penganalisis ekonomi selain dicabar dari sudut perundangan.
Pengkritik mendakwa bayaran balik berkenaan hanya memberi manfaat kepada syarikat pengimport dan bukannya pengguna atau isi rumah di AS.
Ahli Kongres Parti Demokrat, Greg Casar berkata, pentadbiran Trump telah mengembalikan wang tersebut kepada syarikat, bukannya kepada rakyat.
“Setiap sen daripada bayaran balik ini sepatutnya dikembalikan kepada pengguna AS,” katanya minggu ini.
Pada 20 Februari lalu, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa sebahagian besar tarif berskala luas yang diperkenalkan Trump adalah tidak sah selepas mendapati Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif secara unilateral terhadap barangan import dari negara rakan dagang.
Susulan keputusan itu, Trump mengkritik hakim Mahkamah Agung dengan menyifatkan mereka tidak setia, selain mengumumkan tarif sementara baharu sebanyak 10 peratus menggunakan peruntukan undang-undang lain.
Beliau turut memperkenalkan satu lagi pusingan tarif global di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 yang bertujuan menangani amalan perdagangan yang disifatkan tidak adil atau bersifat diskriminasi oleh negara lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








