LUAR NEGARA

Trump ancam sasar kemudahan awam Iran jika Selat Hormuz terus ditutup

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada Iran dengan mengugut untuk menyerang infrastruktur awam negara itu sekiranya Selat Hormuz gagal dibuka semula dalam tempoh yang ditetapkan.

Ancaman tersebut disuarakan menerusi hantaran di media sosial miliknya semalam.

“Jika Iran tidak membuka Selat Hormuz dengan segera, kami tiada pilihan selain mengambil tindakan tegas, termasuk menyasarkan infrastruktur utama. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya.

Sebelum ini, pada 26 Mac lalu, beliau memberi tempoh 10 hari kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz iaitu laluan strategik utama perdagangan tenaga dunia yang terjejas susulan konflik selepas serangan oleh AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Dalam wawancara bersama Fox News, Trump memaklumkan rundingan antara Washington dan Tehran masih berlangsung dan beliau optimis kedua-dua pihak mampu mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir tersebut.

Selat Hormuz
Gambar fail menunjukkan pemandangan dari udara pantai Iran dan pulau Qeshm di Selat Hormuz. – Foto Media Sosial

Bagaimanapun, pihak Iran mengecam keras kenyataan berkenaan dan memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang serangan ke atas kemudahan awam negara itu.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan kenyataan Trump sebagai ancaman terbuka yang boleh menjejaskan kelangsungan hidup rakyat awam, selain berpotensi melanggar undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, komuniti antarabangsa bertanggungjawab untuk menghalang sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Sementara itu, Timbalan Komunikasi Pejabat Presiden Iran, Seyyed Mehdi Tabatabaei menegaskan Selat Hormuz hanya akan dibuka semula selepas pampasan dibayar bagi kerosakan akibat konflik.

Beliau turut menyifatkan ancaman Trump sebagai mencerminkan tindakan AS yang semakin terdesak dan tidak rasional.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button