BISNES & EKONOMI

Selat Hormuz ditutup semula, harga minyak dunia melonjak

KUALA LUMPUR – Harga minyak dunia kembali meningkat hari ini selepas Iran menutup semula Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan pergerakan kapal dagang dan mencetuskan kebimbangan baharu terhadap bekalan tenaga global.

Kontrak niaga hadapan minyak mentah Brent naik 54 sen atau 0.67 peratus kepada AS$81.11 (RM335.80) setong, selepas mencecah paras tertinggi AS$82.30 (RM340.72) setong pada awal dagangan.

Sementara itu, minyak mentah penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI), meningkat AS$2.02 (RM8.36) atau 2.64 peratus kepada AS$78.62 (RM325.49) setong.

Kontrak Ogos yang lebih aktif pula naik AS$1.43 (RM5.92) kepada AS$77.28 (RM319.94) setong.

Peningkatan harga itu berlaku ketika rundingan pertama antara AS dan Iran di bawah perjanjian damai sementara berdepan jalan berliku, selain ketegangan berterusan di Asia Barat.

Data perkapalan menunjukkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara semalam selepas Tehran mengumumkan penutupan semula laluan perkapalan strategik tersebut, dengan alasan Israel dan AS melanggar syarat perjanjian damai sementara yang dipersetujui sebelum ini.

Ketua Penyelidikan Tenaga MST Marquee, Saul Kavonic berkata, jangkaan pasaran bahawa laluan itu akan dibuka semula ternyata terlalu awal.

“Pasaran terlalu cepat menjangkakan Selat Hormuz akan kembali beroperasi seperti biasa.

“Iran dijangka terus menggunakan laluan itu sebagai alat tekanan dalam rundingan yang sedang berlangsung,” memetik NST online.

Dalam perkembangan sama, Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk melancarkan semula serangan terhadap Iran walaupun Naib Presiden AS, JD Vance mengadakan pertemuan dengan pegawai Iran pada Ahad bagi memulakan rundingan di bawah perjanjian damai sementara.

Tehran pula mendakwa Washington gagal memenuhi komitmennya untuk menghentikan konflik di Lebanon.

Situasi di Lebanon turut menambah tekanan kepada pasaran minyak apabila serangan Israel pada Sabtu dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, sehari selepas gencatan senjata dengan Hezbollah mula berkuat kuasa.

Penganalisis pasaran IG, Tony Sycamore berkata, keadaan di Lebanon masih menjadi ancaman besar kepada usaha mengekalkan gencatan senjata dan membuka semula Selat Hormuz.

Walaupun begitu, harga minyak susut lebih lapan peratus minggu lalu berikutan jangkaan peningkatan bekalan daripada kargo yang terkandas di Teluk serta kemungkinan AS melonggarkan sekatan ke atas eksport minyak Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian damai.

Ketua National Iranian Oil Company, Hamid Bovard berkata, lebih 25 juta tong minyak Iran berjaya melepasi sekatan maya yang dikenakan sejak minggu lalu.

Pada masa sama, United Arab Emirates, Kuwait dan Iraq turut menawarkan bekalan minyak tambahan kepada pelanggan masing-masing bagi membantu menstabilkan pasaran.

Iraq juga merancang meningkatkan pengeluaran minyak mentah secara berperingkat kepada antara 4.2 juta hingga 4.3 juta tong sehari dalam usaha memenuhi permintaan global yang terus meningkat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button