BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

RON95 RM1.99 mulai 30 September – PM

PUTRAJAYA – Lebih 16 juta rakyat Malaysia bakal menikmati penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini menerusi inisiatif BUDI95.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi tersebut diberikan kepada semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah tanpa mengira tahap pendapatan.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, anggota polis dan tentera akan menikmati harga subsidi lebih awal iaitu pada 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula 28 September bagi mengelakkan kesesakan di stesen minyak.

“Pada 27 September, semua anggota polis dan tentera dengan lesen memandu sah boleh memulakan (inisiatif itu). Jadi, kita lihat sekitar 300,000 rakyat itu sebagai langkah percubaan supaya ia terkawal.

“Pada 28 September pula, semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menikmati kadar RM1.99 seliter pula,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95, namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.

“Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button