PMX

Keyakinan pelabur dalam industri elektrikal dan elektronik semakin berkembang

KUALA LUMPUR – Keyakinan pelabur dalam industri elektrikal dan elektronik (E&E) semakin berkembang dengan adanya ekosistem memudahcara perniagaan mereka di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walau bagaimanapun berkata, sungguhpun dengan semua kemudahan itu, Malaysia masih di belakang negara tetangga seperti Singapura dan Taiwan.

“Ekosistem prasarana dan industri E&E negara ini berada di tahap baik sehinggakan pembuat cip Jerman Infineon Technologies sedang membina pelan terbesarnya di Kulim Hi-Tech Park,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri telah menghadiri Majlis Libat Urus Program Jelajah Belanjawan 2025 di ibu pejabat SilTerra Malaysia bertempat di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Sesi Libat Urus tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Majlis Libat Urus ini diadakan agar pemain-pemain industri boleh memberi maklum balas dan cadangan untuk merangka Belanjawan 2025 sebaik mungkin.

“Sekalung penghargaan kepada semua yang ikut serta dengan perbincangan ilmiah agar kita boleh merancakkan lagi pembangunan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan kerajaan sentiasa mempunyai ruang untuk menjadi yang lebih baik.

Beliau berkata, kerajaan juga mengakui bahawa tidak mempunyai jawapan bagi semua isu berbangkit.

“Justeru itu, adalah penting agar sesi seumpama ini diadakan, dibudayakan dan disemarakkan demi pembangunan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button