BERITA SEMASAPMX

Negara mesti diselamatkan, jawatan PM tidak kekal – Anwar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tanggungjawab memastikan negara terus dipelihara lebih penting daripada kedudukan seseorang sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya tidak kekal selama-lamanya.

Perdana Menteri berkata, beliau menyedari pendekatan yang diambil ketika menerajui Kerajaan MADANI mungkin tidak memenuhi kehendak pihak yang mahu segala perkara disegerakan.

Katanya, tindakan dilakukan secara tergesa-gesa pula boleh mengundang permusuhan, terutama apabila masih ada pihak yang tidak mahu tindakan diambil atau pendedahan dibuat berhubung isu tertentu.

“Saya sudah melakukan yang sebaik mungkin. Saya minta maaf kalau ia tidak memenuhi selera orang yang merasakan perlu disegerakan. Tapi harus faham, menyegerakan tindakan juga mengundang permusuhan.

“Seperti yang berlaku sekarang, ada orang tidak mahu sebarang tindakan, tidak mahu sebarang pendedahan, tidak mahu perkataan ‘sakau’ digunakan.

Related Articles

“Tetapi saya berterima kasih kepada yang memberi kepercayaan, dan saya ingin merayu dari lubuk hati saya, berilah peluang kepada kita untuk menyelamatkan negara kita,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Sembang OhhYeahh!.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia mempunyai potensi luar biasa yang perlu terus dimanfaatkan, selain menyifatkan golongan muda sebagai kelompok yang semakin peka dan menunjukkan minat tinggi terhadap masa depan negara.

Menurut beliau, semangat serta harapan anak muda terhadap negara dapat dilihat menerusi sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan dengan penuh semangat.

“Jangan balik toleh dan retrogresif ke belakang. Negara ini harus ke depan, dan dalam tahap yang kita capai sekarang itu dihormati di rantau dan di dunia. Jangan sia-siakan peluang ini, itu saja,” katanya.

Anwar berkata, jawatan Perdana Menteri tidak akan kekal selama-lamanya, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan negara terus dipelihara.

“Perdana Menteri datang dan pergi, saya insaf perkara itu. Tetapi negara mesti diselamatkan.

“Jangan izinkan kita balik dengan amalan dan budaya benci kepada manusia, benci kepada kaum, dan lebih mudah menerima rasuah serta penyelewengan.

“Negara ini ada kekuatan, jangan rosakkan. Itu harapan saya. Saya mampu ditegur, saya banyak ditegur. Saya Perdana Menteri paling banyak turun ke universiti, dialog, dengar anak-anak dan saya boleh perbaiki di mana yang saya anggap kekurangan serta kelemahan.

“Tetapi saya ingin merayu, jangan izinkan negara ini dihampakan oleh gerombolan yang punyai kepentingan yang akan merosakkan kekuatan sendi kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button