BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pengambil alihan saham IJM oleh Sunway: DPMM Dewan Muda desak PM campur tangan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Dewan Muda mendesak campur tangan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengambilalihan saham IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad.

Pengerusinya, Hisham Abdul Hamid berkata, cadangan pengambilalihan itu perlu ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian menyeluruh dilakukan demi kepentingan negara.

Katanya, tindakan itu tidak boleh dilihat sebagai urus niaga korporat biasa sebaliknya membabitkan kepentingan strategik negara termasuk kedaulatan ekonomi dan masa depan pegangan ekuiti nasional dalam sektor kritikal.

“IJM bukan sebuah syarikat kecil, sebaliknya pemilik aset infrastruktur strategik negara yang melibatkan konsesi jangka panjang, projek utama serta aset fizikal yang tidak boleh digantikan.

“Pemegang saham utama IJM juga terdiri daripada institusi amanah rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji.

“Jadi sebarang keputusan yang mengubah pemilikan, kawalan atau nilai strategik IJM secara langsung menyentuh kepentingan nasional. Justeru, kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik hujah bahawa ini adalah keputusan korporat semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hisham Abdul Hamid

Hisham menegaskan, sekiranya kerajaan sebelum ini boleh campur tangan dalam isu beras, petrol, tol dan tenaga, maka tiada alasan untuk tidak berbuat demikian dalam isu pemilikan aset infrastruktur strategik negara.

Selain itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap struktur cadangan pengambilalihan tersebut yang didakwa tidak melibatkan bayaran tunai sepenuhnya, sebaliknya menggunakan penerbitan saham sebagai pertukaran.

“Dalam kewangan korporat, harga saham bukan ukuran sebenar nilai syarikat, sebaliknya Nilai Aset Bersih Ketara (NTA) atau RNAV adalah penanda aras yang lebih berdisiplin, khususnya bagi syarikat berasaskan aset seperti IJM.

“Persoalan pokoknya ialah sama ada aset strategik sebenar negara sedang ditukar dengan kertas saham yang nilainya hanya bergantung kepada sentimen pasaran,” katanya.

Menurut beliau, sejarah pasaran saham Malaysia membuktikan harga saham boleh merosot dengan ketara walaupun syarikat masih memiliki aset, seperti yang pernah berlaku kepada beberapa syarikat tersenarai apabila keyakinan pasaran berubah.

Sehubungan itu, DPMM Dewan Muda menggesa Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan supaya meneliti secara menyeluruh pergerakan harga saham Sunway, termasuk sebarang aktiviti dagangan luar biasa, bagi memastikan integriti pasaran terus terpelihara.

Hisham berkata, jika urus niaga itu diteruskan tanpa perlindungan mencukupi, institusi amanah rakyat berisiko menjadi pemegang saham minoriti, kawalan ke atas aset strategik negara boleh berubah secara struktur dan pegangan ekuiti Bumiputera berkemungkinan terus mengecil.

Sebagai alternatif, beliau mencadangkan supaya satu konsortium yang diterajui oleh MARA, Ekuinas dan TERAJU, bersama institusi pelaburan berkaitan kerajaan serta pemain korporat Melayu, dipertimbangkan untuk menilai pengambilalihan IJM, selaras dengan aspirasi pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Jika hari ini kita melepaskan IJM tanpa disiplin NTA dan tanpa perlindungan kepentingan nasional, kita sebenarnya sedang mempertaruhkan kedaulatan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button