BERITA SEMASAPMX

Pertahanan negara perlu sentiasa siap siaga – PM

MELAKA – Malaysia perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman keselamatan dan tidak boleh menunggu sehingga berlaku peperangan atau konflik sebelum memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keamanan yang dinikmati negara ketika ini merupakan prasyarat utama kepada pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan dan pembangunan negara, justeru kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan keselamatan perlu terus diperkasakan.

“Kalau kita tidak siap siaga, negara kita akan terancam. Hari ini kita aman, Alhamdulillah, dan keamanan itu sangat berharga untuk kita.

“Kita boleh memacu pertumbuhan ekonomi, mencatat kemajuan dan menarik pelaburan, tetapi syarat utamanya ialah negara mesti aman,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Terendak, di sini hari ini.

Menurut Anwar, beliau sendiri turun padang ke beberapa lokasi strategik termasuk ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Banggi, Sabah bagi melihat sendiri keadaan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan.

Katanya, pengalaman itu memberi gambaran jelas mengenai cabaran dan pengorbanan yang dihadapi anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Tidak mungkin seorang Perdana Menteri atau seorang panglima mempunyai jawapan kepada semua permasalahan. Kita perlu mendengar dan melihat sendiri.

“Kalau saya tidak sanggup turun padang, saya tidak akan benar-benar memahami kesukaran, keperitan dan pengorbanan yang ditanggung anggota kita,” katanya.

Beliau berkata, Pulau Banggi merupakan kawasan strategik yang terletak berhampiran Pulau Balabac, Filipina, yang kini menyaksikan pembesaran pangkalan tentera Filipina dan Amerika Syarikat, selain menjadi laluan aset tentera laut China.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan semua kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, China dan negara-negara Asia, namun pada masa sama tidak boleh berkompromi dalam aspek kesiapsiagaan pertahanan.

“Kita tidak boleh tunggu sebuah negara mengisytiharkan perang baharu hendak bersedia. Kesiapsiagaan mesti dilakukan lebih awal,” katanya.

Anwar berkata, atas dasar itu, Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan sebanyak 35 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu bagi memperkukuh keupayaan aset dan kesiapsiagaan pertahanan negara.

Beliau berkata, peningkatan itu bukan sekadar angka, sebaliknya bertujuan memastikan anggota tentera memiliki kelengkapan yang mencukupi serta memperbaiki kelemahan dalam sistem perolehan aset pertahanan.

“Apalah ertinya kita bercakap soal mempertahankan negara jika kelengkapannya tidak memadai atau proses perolehannya dipenuhi kontroversi dan komisen yang berlebihan seperti yang berlaku selama puluhan tahun,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button