Ismail Sabri mohon PM bawa cadangan jadikan Bahasa Melayu bahasa kedua ASEAN
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa semula cadangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN ke peringkat mesyuarat rasmi serantau.
Beliau berkata, cadangan tersebut pernah dibincangkan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Saya harap Perdana Menteri boleh membawa isu ini ke peringkat ASEAN.
“Ketika saya bertemu Pak Jokowi dahulu, beliau turut bersetuju bahasa Melayu adalah akar kepada semua bahasa di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-4 di Hotel Royale Chulan, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pengiktirafan itu penting bagi memartabatkan bahasa Melayu di pentas antarabangsa, sekali gus mengangkat identiti budaya serumpun di rantau Asia Tenggara.
“Justeru, langkah pertama ke arah merealisasikan hasrat ini adalah menubuhkan kumpulan bertindak di peringkat tertinggi ASEAN yang terdiri daripada pakar bahasa, diplomat dan ahli akademik dari semua negara anggota.
“Mereka perlu mengkaji secara mendalam dasar bahasa ASEAN dan mencadangkan satu pelan hala tuju jangka panjang yang komprehensif,” katanya.
Beliau yang juga Penaung Persatuan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PAABM) berkata, langkah kedua pula mempergiatkan kerjasama tiga hala antara Malaysia-Indonesia-Brunei.

“Sebagai negara teras penutur Melayu, ketiga-tiga negara ini perlu mengambil inisiatif untuk menyelaraskan usaha promosi dan pembangunan bahasa, termasuk penyeragaman istilah teknikal dan pembangunan sumber digital bersama.
“Seterusnya, melancarkan ‘Bulan Bahasa Melayu ASEAN’ pada setiap tahun pada bulan Ogos sempena ulang tahun penubuhan ASEAN dengan tumpuan khusus kepada mempromosikan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan negara anggota melalui aktiviti pendidikan dan budaya.
“Saya berharap tiga cadangan ini dibawa oleh Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung minggu depan di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga memuji komitmen Perdana Menteri yang dalam ucapan Belanjawan 2026 semalam menegaskan keperluan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu.
“Beliau sendiri rasa tidak selesa dengan kecenderungan sekolah antarabangsa yang mengetepikan bahasa kebangsaan.
“Jadi, saya harap beliau dapat perjuangkan isu ini di peringkat serantau,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








