BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

RM800 juta dijimatkan melalui BUDI95 dipulangkan kepada rakyat – PM

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menyasarkan subsidi minyak menerusi pelaksanaan BUDI95 berjaya menjimatkan RM800 juta setakat ini, sekali gus membolehkan penjimatan itu dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai, kebajikan sosial serta penambahbaikan kemudahan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penyasaran subsidi minyak sebenarnya telah dibincangkan sejak lebih dua dekad lalu oleh kerajaan terdahulu, namun tiada pentadbiran yang benar-benar mempunyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya.

Menurut beliau, pelaksanaan BUDI95 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi minyak hanya dinikmati rakyat Malaysia, bukan terus dinikmati oleh lebih 3.5 juta warga asing selain diseleweng melalui kegiatan penyeludupan ke luar negara.

“Melalui langkah ini, subsidi dapat disasarkan dengan lebih adil dan berkesan, sekali gus mengelakkan ketirisan yang menjejaskan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Anwar menjelaskan, penjimatan RM800 juta hasil pelaksanaan dasar tersebut telah disalurkan semula kepada rakyat melalui inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di samping digunakan untuk menaik taraf klinik serta hospital kerajaan, membaiki jalan raya dan memperkukuh prasarana negara.

Beliau menegaskan, pendekatan berkenaan selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang mengutamakan keadilan sosial, ketelusan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

“Setiap penjimatan yang diperoleh dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang nyata,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil keberanian membuat keputusan sukar demi kepentingan jangka panjang negara, sambil menzahirkan kesyukuran atas kejayaan pelaksanaan dasar berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button