BERITA SEMASA

KWAP mangsa penipuan terancang eFishery, kerugian hampir RM200 juta

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menjadi mangsa penipuan terancang sehingga menyebabkan dana hampir RM200 juta disalurkan ke dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan eFishery dilaksanakan menerusi proses tadbir urus dan penilaian teliti, yang turut merangkumi pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa yang diiktiraf.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menjamin segala maklumat adalah lengkap dan sahih, konsortium pelabur termasuk KWAP pada masa yang sama telah menjalankan penilaian usaha wajar secara bebas untuk tujuan pertimbangan pelaburan tersebut.

“Pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.

“Pelabur-pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terhadap ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar membabitkan dana persaraan penjawat awam.

Anwar berkata, bagi menangani perkara ini, konsortium pelabur termasuk KWAP telah melaksanakan langkah tegas, melibatkan tindakan undang-undang, pemulihan dana, serta semakan menyeluruh terhadap tatakelola dan kawalan dalaman.

Katanya, KWAP sudah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan dan hasil semakan sudah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.

“Susulan perbincangan itu, tindakan susulan sudah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi.

“KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti. Langkah penambahbaikan sudah dilaksanakan yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” katanya.

KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam syarikat eFishery pada Julai 2023.

Syarikat pemula niaga itu dipersembahkan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang kononnya mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang.

Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button