PH buat laporan polis dakwa calon BN DUN Rim guna aset kerajaan ketika kempen
JASIN – Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar, berhubung dakwaan menggunakan premis dan jentera kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Siti Aishah Shaik Ismail berkata, laporan berkenaan dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, pada Isnin.
Menurutnya, dakwaan itu berkaitan kehadiran Khaidirah dalam majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima sempena sambutan Deepavali.
Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan bukti bergambar dan rakaman video kepada polis bagi menyokong laporan berkenaan.
“Kita serahkan bukti (Khaidirah) menyalahgunakan Kompleks JAPERUN Rim untuk mengadakan majlis itu, yang sepatutnya tidak lagi boleh digunakan untuk program berunsur politik sebaik sahaja DUN dibubarkan, biarpun sebelum ini bangunan berkenaan pejabat beliau sewaktu menjadi wakil rakyat di sini,” katanya memetik laporan Bernama.
Aishah turut mendakwa bakul makanan yang diagihkan mempunyai label Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penggunaan aset kerajaan dalam program berkenaan.
Selain itu, katanya, pihaknya mempunyai bukti beberapa pegawai MPJ memakai pakaian yang memaparkan wajah Naib Ketua UMNO Jasin sepanjang majlis penyampaian sumbangan itu berlangsung.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengemukakan semua bukti berkaitan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok dan menggesa siasatan segera, telus serta bebas dijalankan.
“Kami tidak mempertikaikan hak rakyat untuk menerima bantuan, lebih-lebih lagi menjelang sambutan perayaan Deepavali. Bantuan kepada rakyat adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
“Namun, kami memandang serius pembabitan calon BN dalam program tersebut kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai kemungkinan penggunaan jentera, premis dan kemudahan kerajaan untuk memberikan kelebihan kepada calon tertentu ketika pilihan raya sedang berlangsung,” katanya.
Pada PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan Ketua Wanita Cabang PKR Jasin, Esma Eazreen Husin, bagi kerusi DUN Rim dalam pertandingan satu lawan satu menentang Khaidirah.
SPR menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














