BERITA SEMASA

Johor sasar pertumbuhan ekonomi 8 peratus setiap tahun hingga 2030 – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – Johor menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus setiap tahun sehingga 2030 bagi merealisasikan matlamat menjadi negeri maju pertama di Malaysia menerusi pelaksanaan visi Maju Johor 2030.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu memerlukan transformasi menyeluruh dalam pentadbiran dan ekonomi negeri, selain memanfaatkan kedudukan strategik Johor yang bersempadan dengan Singapura.

Beliau berkata, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi antara kelebihan utama untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

“Ketika mula memegang jawatan pada 2022, saya melihat Johor mempunyai pelbagai sumber dan kedudukan strategik bersebelahan Singapura. Saya merasakan sudah tiba masanya ekonomi Johor ditransformasikan.

“Justeru, kita memperkenalkan Maju Johor 2030 dengan visi menjadikan Johor negeri maju pertama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog sempena program iFUTURE 2026 – Special Series bertemakan Towards Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini.

Program itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; bekas Menteri Kesihatan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta dihoskan oleh wartawan dan pengacara, Nazri Kahar.

Menurut Onn Hafiz, Johor mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus pada tahun lalu, tertinggi di negara ini, selain merekodkan nilai pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, katanya, usaha mencapai status negeri maju bukan sesuatu yang mudah kerana Johor perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi lapan peratus setiap tahun sehingga 2030, selain mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang tahun berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan JS-SEZ membuka peluang besar kepada Johor untuk mempercepatkan transformasi ekonomi, khususnya melalui peningkatan kemudahan menjalankan perniagaan, kelancaran pergerakan, pembangunan bakat dan penggunaan teknologi.

Mengulas inspirasi di sebalik strategi pembangunan negeri, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor turut menjadikan Shenzhen di China sebagai penanda aras selepas melihat kejayaan bandar itu berubah daripada sebuah perkampungan nelayan kira-kira tiga dekad lalu kepada antara pusat ekonomi paling dinamik di dunia.

Katanya, pengalaman Shenzhen memberikan pengajaran penting bahawa pencapaian luar biasa memerlukan pendekatan kerja dan kepimpinan yang berbeza daripada kebiasaan.

“Pemimpin Shenzhen memberitahu kami bahawa untuk mencapai hasil yang luar biasa, kita perlu melakukan sesuatu dengan cara yang luar biasa.

“Jadi, kami cuba menerapkan strategi itu di Johor. Ini bermakna kita perlu mengubah cara bekerja dan pentadbiran, manakala kepimpinan pula perlu berubah serta menunjukkan teladan,” katanya.

Beliau berkata, selain Shenzhen, Singapura turut menjadi penanda aras penting kepada Johor memandangkan kedudukan kedua-dua wilayah yang berdekatan serta pencapaian ekonomi negara jiran itu.

Menurutnya, perbandingan dengan Singapura mendorong Johor meningkatkan keupayaan negeri agar mampu bersaing dan memanfaatkan peluang ekonomi rentas sempadan, khususnya melalui JS-SEZ.

Dalam aspek pendigitalan, Onn Hafiz berkata, Johor turut memberi penekanan terhadap penerapan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan tempatan.

Sebagai contoh katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia mencapai Tahap Tiga bagi penarafan berkaitan kemajuan teknologi yang dirujuknya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat memperluas dan mencontohi pendekatan itu di semua daerah di Johor bagi memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Katanya, gabungan pelaburan strategik, pembaharuan pentadbiran, pembangunan bakat dan penerapan teknologi diyakini mampu membantu Johor mencapai sasaran pembangunan menjelang 2030, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button