Program dokumentasi pelarian: Kerajaan tetapkan Januari 2023 sebagai tarikh pemisah
KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan Januari 2023 sebagai tarikh pemisah bagi menentukan kelayakan individu untuk dipertimbangkan dalam Program Dokumentasi dan Pendaftaran (DPP) pelarian bagi mengelakkan program itu menjadi faktor penarik kepada kemasukan baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, individu yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak akan diberi peluang untuk dipertimbangkan di bawah program itu.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan kebimbangan bahawa pelaksanaan DPP akan mendorong lebih ramai pelarian memasuki Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Radzi Jidin di Dewan Rakyat hari ini, berhubung mekanisme pendaftaran pelarian, risiko kewujudan sindiket serta penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan.
Saifuddin berkata, kerajaan kini berdepan cabaran kerana jumlah lebih 225,000 pelarian yang diketahui setakat ini tidak disertakan maklumat lengkap seperti nama, umur, alamat dan lokasi mereka.
“Proses pendataan itu bukan perkara baharu kerana fasa awal sudah dilaksanakan sebelum ini dan menghasilkan kira-kira 30,000 rekod individu dengan maklumat lebih lengkap.
“Sebahagian individu yang direkodkan itu sudah bekerja dan mempunyai majikan, sekali gus membolehkan kerajaan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keberadaan serta keadaan mereka di negara ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, usaha memperluas proses pendataan penting bagi memastikan maklumat yang dikumpulkan lebih tepat dan boleh dipercayai, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar awam berkaitan pengurusan pelarian secara lebih berkesan.
Terdahulu, Radzi meminta kerajaan menjelaskan sama ada pendaftaran DPP akan menggunakan senarai sedia ada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau melibatkan pendaftaran baharu, selain mekanisme bagi menghalang sindiket mengambil kesempatan terhadap proses itu.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan menggunakan pendekatan penempatan terkawal seperti yang pernah dilaksanakan terhadap pelarian Vietnam pada era terdahulu sebagai antara pilihan menangani isu berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








