JENAYAH & MAHKAMAH

Cubaan seludup dadah ke Jepun: Suspek dakwa kakitangan lapangan terbang sudah dirasuah

CYBERJAYA – Salah seorang daripada lima suspek rakyat Malaysia yang ditahan di Jepun bersama 5 kilogram (kg) kokain, baru-baru ini mendakwa, dia diberitahu kakitangan lapangan terbang telah dirasuah bagi memastikan mereka dapat melepasi pemeriksaan.

Dakwaan itu terkandung dalam laporan yang disiarkan Fuji News Network (FNN), kelmarin.

“Saya diberitahu kakitangan lapangan terbang telah dibayar, jadi kami tidak akan diperiksa,” kata salah seorang suspek dalam laporan tersebut.

Bagaimanapun, FNN tidak menyatakan lapangan terbang mana yang dimaksudkan oleh suspek berusia 24 tahun itu atau mengesahkan sama ada sebarang rasuah telah pun dibayar.

Rangkaian berita itu melaporkan, kelima-lima rakyat Malaysia berkenaan dipercayai menerima tawaran tersebut disebabkan masalah kewangan sebelum cuba menyeludup kokain yang disembunyikan di bawah pelapik dalam kasut mereka.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Kastam Jepun mula curiga terhadap seorang suspek yang memakai kasut berpotongan tapak yang luar biasa tebal. Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan dadah berkenaan.

Setiap suspek dipercayai membawa kira-kira 1kg kokain, dengan 500g disembunyikan dalam setiap belah kasut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini mengesahkan bahawa dua lelaki dan tiga wanita, kesemuanya warganegara Malaysia, telah ditangkap pada 10 Okt.

Beliau berkata, pihak polis akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun untuk mengumpul maklumat lanjut, termasuk kemungkinan rangkaian dengan sindiket dadah di Malaysia serta antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button