GSF 2.0: Empat rakyat Malaysia masih teruskan pelayaran ke Gaza
KUALA LUMPUR – Ketika sebahagian konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dipintas tentera Israel, empat rakyat Malaysia dilaporkan masih meneruskan pelayaran menuju ke Gaza dalam usaha menembusi sekatan ke atas wilayah Palestin itu.
Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs dan Chin yang berada di atas kapal Alcyone, Syed Amirul (Don Juan) serta Dr Thanisah yang menyertai kapal Zefiro.
Berdasarkan kemas kini menerusi Sumud Nusantara Tracker, kapal Alcyone dilaporkan bergerak pada kelajuan 15.5 kilometer sejam (km/j), manakala Don Juan dan Zefiro masing-masing pada kelajuan 14.3 km/j dan 11.7 km/j.
Terdahulu, Sumud Nusantara Official memaklumkan seramai 25 rakyat Malaysia ditahan rejim Zionis Israel sepanjang operasi memintas konvoi terbabit, dengan penahanan terbaharu melibatkan Razman Mat Ali yang berada di atas kapal Azur.
BACA JUGA:
Malaysia kecam Israel, tuntut keselamatan dan pembebasan segera tahanan GSF 2.0
Dalam masa sama, sebanyak 12 kapal lagi masih meneruskan pelayaran menuju ke zon terakhir misi berkenaan meskipun lebih separuh daripada konvoi dilaporkan telah dipintas pasukan tentera Israel setakat pukul 7.46 pagi waktu Malaysia.
Lima kapal yang membawa peserta daripada Freedom Flotilla Coalition (FFC) turut dilaporkan dipintas ketika belayar bersama konvoi GSF 2.0.
GSF 2.0 merupakan misi kemanusiaan antarabangsa yang digerakkan aktivis pelbagai negara bagi membawa bantuan serta menunjukkan solidariti kepada penduduk Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan susulan konflik berpanjangan dan sekatan ketat Israel.
Misi itu mendapat perhatian antarabangsa selepas beberapa kapal dalam konvoi berkenaan dipintas ketika cuba menghampiri perairan Gaza, selain beberapa peserta dilaporkan ditahan pihak berkuasa Israel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








