BERITA SEMASA

Ardell Aryana sertai semula misi SUMUD 2.0: ‘Saya, anak-anak tunggu awak balik’ – suami

KUALA LUMPUR – Pelakon Ardell Aryana sekali lagi menyertai misi kemanusiaan antarabangsa apabila berlepas ke Barcelona, Sepanyol bagi menyertai gerakan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0) untuk membantu rakyat Gaza.

Pemergian Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, dikongsikan suaminya, Nadzmi Adhwa yang menitipkan doa agar segala urusan isterinya dipermudahkan.

“Saya, anak-anak dan keluarga kita semua tunggu awak balik ya. Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi Palestin,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Selain Nadzmi, ahli keluarga termasuk anak-anak mereka turut hadir mengiringi Ardell di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menerusi perkongsian video tersebut, Ardell dilihat mengucup dahi ibunya, Sawiyah Abdullah, selain mencium anak-anak sebelum berlepas.

sumud
Ardell memeluk salah seorang anaknya (gambar atas) dan mengusap wajah ibunya (gambar bawah).

Pada masa sama, Nadzmi turut mendoakan agar misi kemanusiaan tersebut dipermudahkan dan mendapat keberkatan Ilahi.

“Semoga Allah reda dengan usaha awak membantu ummah dan semoga Allah permudahkan awak dan semua yang terlibat,” ujarnya.

BACA JUGA:

Ardell Aryana kongsi prosedur jika bot Global Sumud Flotilla diserang Zionis

Selain Ardell, antara personaliti dan pendakwah yang menyertai GSF2.0 ialah pasangan adik beradik selebriti, Heliza dan Hazwani Helmi serta pempengaruh muda, Haroqs.

Difahamkan, lebih 500 sukarelawan dari 100 negara akan berlepas dari Barcelona pada 12 April ini dalam usaha antarabangsa untuk memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.

Untuk rekod, Ardell sebelum ini turut menyertai misi Global Sumud Flotilla, namun berdepan detik mencemaskan apabila kumpulan sukarelawan termasuk rakyat Malaysia ditahan oleh rejim Israel.

Dalam insiden tersebut, seramai 23 sukarelawan Malaysia ditahan sebelum akhirnya dibebaskan dan selamat pulang ke tanah air pada 7 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button