BERITA SEMASA

Armada GSF ke Gaza 12 April, himpun 80 kapal dan 1,000 peserta global

PUTRAJAYA – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dijadualkan berlepas ke Gaza dari Barcelona pada 12 April ini menghimpunkan lebih 80 kapal dengan penyertaan kira-kira 1,000 peserta dari pelbagai negara.

GSF dalam kenyataannya menjelaskan, delegasi tersebut terdiri daripada petugas awam seperti doktor, guru dan pembina ekologi yang bersedia menyalurkan bantuan segera, selain menyokong usaha penjagaan komuniti serta pembinaan semula di peringkat awal bersama rakyat Palestin.

Dalam masa sama, rangkaian rakan kerjasama antarabangsa akan digerakkan serentak bagi memperhebat tekanan politik dan perundangan, meningkatkan penglibatan masyarakat serta memperkukuh prinsip akauntabiliti di bawah undang-undang antarabangsa.

“Flotila ini membawa mesej moral dan politik yang jelas bahawa sikap berdiam diri terhadap keganasan yang berterusan bukan satu pilihan, sebaliknya menuntut tindakan kolektif dunia,” menurut GSF.

Menurut GSF, misi itu bukan sekadar operasi maritim, sebaliknya satu gerakan bersepadu yang menggabungkan solidariti global, advokasi undang-undang serta tekanan masyarakat di peringkat akar umbi merentasi pelbagai negara.

“GSF belayar kerana kegagalan bertindak akan membawa akibat lebih buruk. Ketika Gaza berdepan sekatan, keganasan dan penafian yang semakin meningkat, misi ini tampil sebagai intervensi berprinsip dan tanpa kekerasan bagi mempertahankan maruah manusia.

“Ia juga bertujuan mendesak akses kemanusiaan serta menuntut kebertanggungjawaban antarabangsa, di samping mencabar sekatan dan keganasan melalui tindakan politik serta solidariti global yang terselaras,” menurut kenyataan itu.

Tambah GSF, misi tahun ini dirancang secara teliti untuk memberi impak maksimum, khususnya ketika konflik dan krisis kemanusiaan di Gaza terus memuncak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button