BERITA SEMASA

RTS Link: Pelan urai trafik Johor Bahru diperkukuh

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti pelan penyuraian trafik di sekitar pusat bandar Johor Bahru bagi memastikan pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link tidak mencetuskan titik kesesakan baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan itu penting bagi mengurus perubahan corak pergerakan pengguna susulan pengoperasian sistem pengangkutan awam yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.

Menurut beliau, usaha berkenaan turut melibatkan penyelarasan antara agensi serta integrasi sistem pengangkutan awam, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi yang mempunyai hubungan terus dengan RTS Link.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi pengangkutan awam lebih bersepadu, cekap, selamat dan mesra rakyat, khususnya dalam menyokong mobiliti rentas sempadan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil 1/2026 di sini hari ini.

RTS Link dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan dan dijangka membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Sistem itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

Pada 2 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Dewan Rakyat berkata, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan dana bagi membiayai kos pembangunan projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor sebagai sebahagian usaha menangani unjuran kesesakan yang dijangka berlaku apabila RTS Link mula beroperasi.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor merangka pelan penyuraian trafik bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam sedia ada, termasuk rangkaian perkhidmatan BAS.MY yang akan diperluaskan kepada 28 laluan membabitkan 254 unit bas, termasuk bas elektrik.

Beliau berkata, menerusi Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) 2.0 itu, sebanyak 157 unit bas dikhususkan untuk laluan Johor Bahru Sentral dan Bukit Chagar yang dijangka dapat dimulakan pada awal 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button