BERITA SEMASADALAM NEGERI

Banjir Sabah: Semua agensi kerajaan digerakkan, bantuan disegerakan – TPM

KUALA LUMPUR – Semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri telah digerakkan secara menyeluruh bagi membantu penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.

“Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin. Saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terbabit agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir ketika umat Islam menyambut Ramadan.

Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Sabah juga terus meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 406 orang daripada 124 keluarga pada petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) kini beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan.

Sebanyak 47 kampung turut terjejas iaitu 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu serta lima di Paitan selepas banjir melanda ketiga-tiga daerah sejak jam 6 pagi semalam susulan hujan berterusan beberapa hari lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi, manakala ribut petir berpotensi berlaku pada waktu petang dan malam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button