Banjir Hatyai : Rakyat Malaysia redah banjir 6 km cari makanan
KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand bersama rakan-rakannya terpaksa meredah banjir sedalam paras pinggang sejauh kira-kira enam kilometer (pergi-balik) demi mendapatkan bekalan makanan selepas tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak berkuasa.
Situasi itu dikongsikan pengguna TikTok, @watie_yaacob, yang memuat naik video menunjukkan keadaan banjir semakin buruk di kawasan mereka menginap sejak Sabtu.
“Kami sudah berhubung dengan polis Thailand dan kedutaan Malaysia tetapi masih belum mendapat apa-apa bantuan.
“Kami terpaksa berjalan dalam banjir kira-kira 6km pergi balik untuk beli makanan,” katanya dalam video yang kini meraih hampir dua juta tontonan setakat pukul 12.30 tengah hari, hari ini.
Video berdurasi beberapa minit itu turut memaparkan paras air yang semakin meningkat di hadapan hotel, selain keadaan hujan lebat yang tidak henti-henti sejak semalam.
“Kami cuba minta bantuan kerajaan Malaysia di Thailand. Harap-harap kami dapat sumber makanan di sini. Air dah paras pinggang sekarang. Hujan berterusan tanpa henti,” katanya.
Sementara itu, kerajaan dilaporkan sedang menggerakkan usaha membawa pulang kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai dan beberapa daerah lain di wilayah Songkhla.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terkini daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi mengenal pasti rakyat Malaysia yang masih terperangkap termasuk guru serta 40 pelajar.
Pada Selasa lalu, Pejabat Sumber Air Negara (ONWR) Thailand mengeluarkan amaran berhubung hujan lebat selama enam hari mulai 18 hingga 23 November, dengan taburan hujan diramal meningkat akibat tiupan Monsun Timur Laut yang memberi kesan kepada kawasan selatan negara itu, termasuk Teluk Thailand.
Keadaan itu turut diburukkan lagi oleh angin timur yang bertiup kencang merentasi wilayah terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








