Toyo Tires perkukuh tayar kualiti Jepun, harga mampu milik menerusi manifesto baharu
PETALING – Toyo Tires melancarkan manifesto jenama terbaharunya, “Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun” yang menggabungkan kepakaran tenaga kerja tempatan dengan teknologi kejuruteraan Jepun bagi menawarkan tayar berkualiti tinggi pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia.
Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd, Tan Song Chye berkata, gabungan kemahiran tempatan dan teknologi Jepun menjadi kekuatan utama syarikat dalam menghasilkan produk berkualiti.
“Kami merupakan satu-satunya pengeluar tayar di Malaysia yang menggabungkan kemahiran tukang tempatan dengan presisi Jepun bagi mencapai standard kualiti premium,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran manifesto itu di Hotel Sunway Resort, di sini semalam.
Baca juga : Toyo Tires perkukuh jenama menerusi kempen Goal Fest 2026 sempena Piala Dunia
Pelancaran manifesto itu merupakan sebagai tanda komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan industri tempatan menerusi kemahiran pekerja Malaysia, pemahaman terhadap keadaan jalan raya negara serta inovasi Jepun yang telah dibangunkan sejak lebih lapan dekad lalu.
Teras “Buatan Malaysia” diterjemahkan menerusi operasi kilang Toyo Tires di Taiping yang digerakkan sepenuhnya oleh 100 peratus tenaga kerja tempatan.
Setiap tayar yang dihasilkan mencerminkan dedikasi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain menyediakan peluang pekerjaan tempatan.
Sementara itu, elemen “Keunggulan Jepun” pula membawa warisan kejuruteraan yang bermula di Osaka sejak 1945 menerusi penggunaan teknologi berpresisi tinggi serta falsafah Kaizen atau penambahbaikan berterusan dalam proses pengeluaran bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian keselamatan dan ketahanan.
Dalam pada itu, Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia, Mike Toh berkata, kilang utama syarikat di Taiping kini sedang melalui proses transformasi menerusi inisiatif ‘Intelligent Manufacturing Transformation’ (IMX) bagi mewujudkan ekosistem pengilangan lebih pintar, cekap dan mampan.

“Kilang kami di Taiping kini sedang memajukan transformasi ‘Intelligent Manufacturing Transformation’ (IMX) bagi mewujudkan ekosistem pengilangan yang lebih pintar, cekap, dan mampan. Bagi Toyo Tires, masa depan mobiliti bukan sahaja bermula dengan teknologi, tetapi dengan insan yang diperkasa untuk memanfaatkannya dengan baik,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh pengalaman pelanggan dan rangkaian pengedar, Toyo Tires turut memperkenalkan dua platform digital baharu iaitu aplikasi T-CARE untuk pengguna serta platform e-TEN bagi rakan niaga.
Aplikasi T-CARE membolehkan pengguna mendaftarkan tayar, menikmati tawaran cashback Touch ‘n Go eWallet sehingga RM40 bagi pengguna kali pertama serta menerima perlindungan jaminan tayar selama enam tahun bermula tarikh pembelian.
Platform e-TEN pula menyediakan kemudahan pesanan dalam talian sepanjang masa, pengurusan inventori lebih pantas serta meningkatkan kecekapan operasi pengedar.
Tan berkata, produk berkualiti perlu disertai pengalaman pelanggan yang baik bagi memastikan hubungan antara jenama dan pengguna terus diperkukuh.
“Produk yang hebat wajar disusuli dengan pengalaman pelanggan yang hebat. Kami mahu terus menjaga kebajikan pemandu luar daripada waktu pembelian tayar, di samping menyediakan alat sokongan yang diperlukan oleh rakan niaga untuk berkembang.
“Menerusi teknologi, kami dapat kekal rapat dengan mereka yang meletakkan kepercayaan kepada jenama kami,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada inovasi produk, Toyo Tires turut memperluaskan tanggungjawab sosial menerusi inisiatif Komuniti PRIHATIN TOYO dengan menyumbang kepada tiga badan kebajikan utama iaitu Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, Yayasan MyKasih serta Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Sumbangan itu meliputi bantuan bencana dan kemanusiaan, bantuan makanan serta biasiswa pendidikan selain usaha memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69, Toyo Tires turut menganjurkan Promosi Merdeka bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026.
Melalui promosi itu, pelanggan yang membeli empat biji tayar terpilih berpeluang menerima ganjaran bernilai lebih RM500 termasuk cashback e-Wallet dan barangan eksklusif Thermos, tertakluk kepada terma dan syarat.
“Sempena Malaysia meraikan Merdeka, kami berbangga dapat berdiri teguh bersama negara dalam perpaduan, kemajuan, dan kemakmuran.
“Inilah identiti kami dan komitmen yang kami pegang. Marilah kita terus memacu kemajuan dan melangkah ke hadapan bersama-sama,” kata Tan lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








