Bukan pura-pura, Ismail Sabri memang alami masalah kesihatan dan dibawa ke IJN oleh SPRM sendiri semalam – sumber rapat
KUALA LUMPUR – Dakwaan sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya berpura-pura sakit hingga dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengelak daripada dikenakan pertuduhan di mahkamah hari ini adalah tidak benar.
Menurut sumber rapat, Ahli Parlimen Bera itu sememangnya mengalami masalah kesihatan sejak kebelakangan ini.
Katanya, ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam beliau mengalami kesakitan di bahagian dada dan dibawa ke IJN oleh kakitangan suruhanjaya tersebut.
“Sebelum ini, dua minggu lalu beliau juga mengalami masalah kesihatan apabila tiba-tiba rebah dan jatuh terlentang dan terpaksa dirawat di Hospital Pantai Bangsar selepas mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala.
“Namun beliau tetap berdegil untuk turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini walaupun masih belum pulih sepenuhnya. Dan semalam sekali lagi beliau mengalami masalah kesihatan apabila sakit di bahagian dada,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut sumber itu lagi, susulan itu bekas Perdana Menteri itu dijadual menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.
Terdahulu pertuduhan terhadap Ismail Sabri ditangguhkan kepada 27 Ogos susulan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, walaupun pendakwaan telah menandatangani pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu, keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan direkodkan hari ini.
Menurut beliau, Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan ketika berada di ibu pejabat SPRM semalam sebelum dibawa ke IJN bagi mendapatkan rawatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








