Ismail Sabri berterima kasih Rafizi bersihkan namanya
CYBERJAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana tampil membersihkan nama beliau.
Terdahulu, Rafizi mengeluarkan satu kenyataan di akaun media sosialnya menafikan penglibatan Ismail Sabri dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kes serangan terhadap anaknya yang berusia 12 tahun, baru-baru ini.
Sehubungan itu, kata Ismail Sabri, pihaknya juga sudah membuat laporan mengenai tuduhan liar yang mengaitkan namanya dengan serangan tersebut.
“Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkan saya dengan kejadian yang menimpa anak Datuk Seri Rafizi (Ramli) serta skandal membabitkan sebuah syarikat swasta.
“Satu laporan juga telah dibuat kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, keseluruhan kandungan artikel yang dimuat naik dalam laman Facebook tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baiknya.
“Saya mohon pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil
tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook itu serta
mana-mana pihak yang menyebarkan artikel terbabit.
“Saya juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap pihak terbabit,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








