Saya bukan Jho Low 2.0 – Bekas pembantu Rafizi
KUALA LUMPUR – Bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu James Chai yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.11 bilion membabitkan seorang menteri kanan menafikan bertindak melarikan diri.
James berkata, tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang menyenaraikannya sebagai individu dikehendaki adalah tidak berasas.
“Asas siasatan ini adalah dakwaan kononnya berlaku penyelewengan oleh bekas majikan saya, Rafizi dan bahawa perjanjian yang saya terlibat telah diluluskan secara tergesa-gesa dan tidak wajar.
“SPRM telah mengeluarkan notis pencarian awam terhadap saya, seolah-olah saya seorang pelarian dan Azam sendiri mengadakan sidang media mengenainya. Beliau memberi gambaran bahawa saya bersembunyi seperti seorang pelarian. Saya tidak berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut James, dia juga menafikan mempengaruhi Perdana Menteri, Kabinet dan seluruh jentera kerajaan untuk mendapat manfaat peribadi.
“Untuk menuduh saya terlibat dalam penyelewengan atau salah guna kuasa, perlu dibuktikan bahawa saya bertindak dengan niat jahat antara Mei 2024 hingga Mac 2025, saya tidak melakukan mana-mana daripadanya.
“Saya tidak mempengaruhi Anwar atau Kabinet untuk menandatangani perjanjian dengan Arm Limited demi mendapatkan pekerjaan. Saya juga tidak mengetahui Rafizi akan meletak jawatan ketika itu. Anwar sendiri tidak mengenali saya, apatah lagi dipengaruhi oleh saya.
“Mengapa menyasarkan saya? Naratif utama yang cuba dimainkan adalah kononnya Rafizi menyeleweng RM1.1 bilion daripada kerjasama tersebut, dan saya digambarkan sebagai ‘Jho Low 2.0’ yang membantu beliau,” katanya.
Dalam pada itu, James juga membidas SPRM kerana memilih untuk mengeluarkan notis pencarian awam dan sidang media, bukannya menghubungi saya secara langsung.
“Mereka turut menyiarkan alamat rumah zaman kanak-kanak saya yang kini didiami ibu bapa saya, mendedahkan keluarga saya kepada bahaya yang tidak perlu.
“Kedua, terdapat kempen siber oleh akaun tanpa nama yang cuba membina naratif ini, termasuk dakwaan saya dilantik ke Lembaga Pengarah Arm Limited sebagai ganjaran. Ada juga sudut perkauman halus dengan naratif ‘Cina korup’.
“Ketiga, menggambarkan saya sedemikian lebih mudah daripada membuktikan kes sebenar. Jika wang menjadi motivasi utama saya, saya tidak akan menyertai kerajaan, apatah lagi dengan pemotongan gaji 50 peratus dan birokrasi yang panjang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








