SPRM Johor kemuka empat syor perkukuh tatakelola pentadbiran tanah
KOTA ISKANDAR – Usaha menutup ruang rasuah dan salah guna kuasa dalam urusan pentadbiran tanah di Johor terus diperkasakan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor mengemukakan empat syor utama penambahbaikan tatakelola kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.
Syor berkenaan memfokuskan pengukuhan urusan sambungan geran serta pertukaran nama hak milik tanah, yang dikenal pasti berisiko terdedah kepada kelemahan sistem, amalan dan tatacara kerja di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Menurut SPRM Johor, cadangan tersebut melibatkan penambahbaikan dari aspek amalan, sistem dan tatacara permohonan, kaedah siasatan serta pengeluaran Sah Hakmilik Berkomputer oleh Bahagian Pendaftaran (QTFT), khususnya bagi kes Sambungan Geran Hilang atau Rosak mengikut Seksyen 168 serta Pertukaran Nama di bawah Seksyen 378 KTN.
“Cadangan pertama ialah pembangunan dan pewujudan garis panduan menyeluruh berkaitan pengeluaran sambungan geran yang hilang atau rosak.
“Cadangan kedua pula menekankan penguatkuasaan dan pematuhan sepenuhnya penggunaan Sistem Secured Land Management System (SELAMAT) yang dibangunkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), termasuk penggunaan biometrik cap jari bagi tujuan pengesanan serta pengambilan dokumen tanpa sebarang pengecualian,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, SPRM Johor turut mengesyorkan penambahbaikan kawalan dalaman bagi urusan pertukaran nama atau butiran hak milik tanah di bawah Seksyen 378 KTN, serta pelaksanaan latihan dan kursus pembangunan kompetensi secara berterusan kepada pegawai dan kakitangan PTG Johor.
Kesemua syor itu dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid kepada PTG Johor dan telah disambut baik oleh Timbalan Pengarah Pembangunan PTG Johor, Dr Mohd Shahrizan Sahid dalam satu sesi pembentangan di pejabat PTG Johor di sini, semalam.
Sheikh Hamadi berkata, cadangan tersebut dirangka susulan pembukaan fail Kertas Penyiasatan Tatakelola (KPT) pada Mei 2025 yang bertujuan mengenal pasti punca kelemahan dalam sistem pentadbiran tanah yang berpotensi membuka ruang kepada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Pelaksanaan syor ini diharap dapat memastikan tadbir urus pentadbiran tanah yang lebih telus, bertanggungjawab dan seragam, sekali gus meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Pendaftaran PTG Johor, Mohamad Fahmi Zakaria.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






