BERITA SEMASA

Baucar Buku MADANI catat penebusan 97.34 peratus, 2.17 juta murid manfaatkan kemudahan

KUALA LUMPUR – Program Baucar Buku MADANI 2026 mencatatkan kadar penebusan 97.34 peratus dengan seramai 2.17 juta murid memanfaatkan kemudahan bernilai RM100 itu setakat hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebanyak 2,174,156 murid sudah menebus baucar berkenaan, manakala 5,587,099 naskhah buku dibeli menerusi platform Book Capital.

Beliau berkata, program itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti serta memupuk budaya membaca dalam kalangan murid.

Menurutnya, sebanyak RM230 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan pada tahun ini.

“Sepanjang tahun 2024 hingga 2026, sebanyak 14.9 juta naskhah buku bernilai RM489.32 juta telah dibeli, sekali gus membantu merancakkan industri perbukuan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wong berkata, sistem penebusan dalam talian yang digunakan membolehkan setiap transaksi dijejak secara telus, dengan tiada ketirisan dilaporkan sepanjang tiga tahun pelaksanaan program itu.

Malah, beberapa kawasan Parlimen termasuk Beaufort, Beluran, Tenom, Bau dan Julau turut mencatatkan kadar penebusan 100 peratus.

Program Baucar Buku MADANI 2026 akan berakhir pada 31 Oktober ini, dengan KPM menyasarkan kadar penebusan penuh menjelang tarikh berkenaan.

Sehubungan itu, murid yang masih belum menebus baucar berkenaan digalakkan memanfaatkan kemudahan itu sebelum tempoh program tamat bagi mendapatkan bahan bacaan yang bersesuaian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button