Ummi Umairah tetap pertahan pendirian, enggan mohon maaf
KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit menegaskan tidak akan memohon maaf berhubung kenyataannya yang mengkritik tindakan menderma wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit, meskipun pandangannya itu mencetuskan perdebatan.
Beliau berkata, pendirian berkenaan dibuat atas prinsip integriti dan penentangan terhadap rasuah, selain berharap lebih ramai berani menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan tanpa rasa takut.
“Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf. Ini kerana menderma wang hasil titik peluh sendiri kepada golongan elit sememangnya, ya, merupakan perbuatan yang paling bodoh dan paling tidak bermoral.
“Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, hari ini.
Sebelum ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai mengumpul derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta dalam sebuah forum terbuka.
Forum itu berlangsung sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini, dengan menampilkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai panel.
Kenyataan mahasiswa itu kemudian mencetuskan perdebatan di media sosial, termasuk kecaman serta komen berbaur ugutan terhadapnya.
Ummi Umairah berkata, beliau konsisten memperjuangkan prinsip integriti, kesaksamaan dan keadilan, selain menentang rasuah tanpa memilih isu tertentu.
“Saya tidak pernah memilih isu untuk diperjuangkan. Saya hadir dalam demonstrasi (bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri) Azam Baki.
“Saya juga pernah bersuara mengenai ketidaksamaan peluang di universiti saya. Sejak hari pertama, saya konsisten menyuarakan pendirian saya,” katanya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap reaksi segelintir masyarakat yang menurutnya dipengaruhi buli siber, obsesi politik dan mentaliti feudal.
Katanya, penggunaan perkataan ‘bodoh’ untuk mengkritik sesuatu tindakan bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang, sebaliknya ungkapan tegas bagi menggambarkan perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal.
“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang. Ia merupakan ungkapan tegas untuk menggambarkan sesuatu perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal.
“Pemikiran kritis semakin terhakis. Orang ramai membaca, tetapi tidak berfikir, membuat penyelidikan atau memahami perkara yang dibaca. Konteks diputarbelitkan.
“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan memanggil seseorang itu bodoh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








