BERITA SEMASAPOLITIK

Wee Ka Siong persoal konsistensi DAP, sindir Tony Pua isu ‘penyangak’

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan konsistensi pendirian DAP susulan kritikan keras tokoh parti itu, Tony Pua terhadap individu yang dilabelnya sebagai ‘penyangak’ dan ‘pencinta penyangak’.

“Kalau Tony Pua benci sangat dengan ‘penyangak’ dan ‘pencinta penyangak’, kenapa DAP masih lagi bekerjasama dengan ‘pencinta penyangak’ yang sama ini?” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Ka Siong menyifatkan sikap tersebut sebagai bercanggah dan mengundang persoalan terhadap keikhlasan DAP menolak budaya yang mereka kritik.

“Jika serius, dia harus mendesak partinya, DAP untuk memutuskan segala bentuk kerjasama dan meninggalkan kerajaan MADANI,” tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi.

Terdahulu, Tony Pua mengulas kes Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook beliau.

Menurutnya, mahkamah memutuskan bahawa tiada asas untuk tahanan rumah terhadap Najib yang disifatkan penyangak terbesar di Malaysia.

“DAP berbangga dan saya juga berbangga dengan hakikat bahawa kami memainkan peranan besar dalam kejatuhan kleptokrat itu serta memastikan dia kekal di penjara.

“Dia sepatutnya berterima kasih kerana sudah pun menerima ‘diskaun’ besar terhadap hukuman dan tempoh pemenjaraannya daripada Yang di-Pertuan Agong/Lembaga Pengampunan terdahulu. Sama sekali tidak ada keperluan untuk bersimpati dengan penyangak seperti ini,” katanya.

Malah, Tony turut menegaskan sesiapa yang menegur DAP supaya mempunyai ‘kemanusiaan’ dan mereka yang terus menyayangi Najib, tiada siapa menghalang.

“Namun jangan halang kami, rakyat Malaysia yang lain daripada meraikan keadilan yang ditegakkan. Menanti sabitan seterusnya lewat minggu ini,” tulisnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button