Dua suspek warga asing maut berbalas tembakan dengan polis
KUALA LUMPUR – Polis menembak mati dua warga asing dalam insiden berbalas tembak bagi menyelamatkan dua mangsa yang dipercayai diculik di sebuah rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman kira-kira pukul 8.40 malam.
Menurut beliau, sebaik pasukan polis menyerbu kediaman berkenaan, suspek melepaskan beberapa das tembakan sebelum anggota polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
“Dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada pukul 9.30 malam.
“Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Hasil serbuan itu, polis turut menemui dua mangsa yang dipercayai diculik, masing-masing seorang lelaki warga asing berusia 70-an dan wanita warga asing berusia 30-an.
Kedua-duanya ditemukan dalam keadaan selamat, namun mata ditutup dan tangan mereka bergari.
Turut dirampas di lokasi kejadian ialah dua pucuk senjata api, iaitu pistol semi-auto jenis Baretta yang mengandungi lima butir peluru dan sebuah revolver dengan empat butir peluru, selain sebilah parang panjang.
Kumar berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Susulan serbuan itu, polis kemudian menjalankan beberapa operasi di lokasi berasingan sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menimbulkan kegusaran dalam masyarakat,” katanya.
Kumar berkata, satu sidang media berhubung perkembangan kes berkenaan dijadualkan diadakan pada Isnin ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








