JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM sahkan siasatan terhadap Zamri Vinoth dan Tamim Dahri selesai, kedua-dua suspek disyaki lari ke Thailand

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan semasa penganjuran perhimpunan di perkarangan Sogo di sini pada 7 Februari lalu telah selesai dijalankan.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Menurutnya, Zamri Vinoth disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, PDRM turut mengesahkan siasatan terhadap Tamim Dahri Abdul Razak berhubung tindakan merosakkan soolam, yang merupakan simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi, Kedah, juga telah selesai.

Tamim Dahri nafi pijak simbol agama, dakwa alihkan besi konkrit tajam dan berbahaya
Tamim Dahri menafikan memijak simbol agama dan mendakwa sekadar mengalihkan besi konkrit tajam dan berbahaya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merosakkan atau mencemarkan benda yang dianggap suci oleh mana-mana golongan agama.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut beliau lagi, berdasarkan maklumat risikan, kedua-dua suspek dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.

Katanya, usaha mengesan mereka kini sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

“Pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat sebaik sahaja mereka berjaya dikesan dan dibawa pulang ke Malaysia.

“Selain itu, siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan yang didakwa berbaur penghinaan terhadap kaum India turut dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya.

Tegasnya, pihaknya akan terus komited dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button