JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja kedai emas ditahan, syarikat rugi RM250,000 akibat pecah amanah

KEMAMAN – Seorang pekerja wanita sebuah kedai emas di daerah ini ditahan polis selepas disyaki menyalahgunakan kepercayaan majikannya dengan mengambil emas dan wang tunai milik premis berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian RM250,000.

Suspek berusia 23 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini pada pukul 9.30 malam semalam bagi membantu siasatan kes pecah amanah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, penahanan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada pengusaha kedai emas berkenaan pada pukul 6.14 petang, 30 September lalu.

Menurutnya, pengadu mendakwa suspek mengambil emas dan wang tunai milik premis berkenaan untuk kegunaan peribadi.

“Perbuatan didakwa dilakukan sejak Februari lalu sehingga menyebabkan syarikat menanggung kerugian RM250,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pecah amanah jenayah oleh pekerja atau individu yang diamanahkan dengan harta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button